Tuesday, May 22, 2012

Ujian Mendekatkan Diri Kepada Allah

Assalamualaikum WBT,

Dah lama sangat rasanya tidak menulis. Lepas macam-macam yang terjadi dalam hidup aku, tak sempat aku nak rakamkan kat blog ni.

Tiba-tiba hari ni masa tengah bingung, berdebar-debar dan tak ada mood dan tak ada tempat untuk meluahkan, tiba-tiba aku teringat yang aku ada blog..haha.


Sekarang ni aku ada kat Seoul, atau lebih spesifiknya kat area Yeongdeungpo. Satu tempat yang amat asing bagi aku. Hari jugak kawan-kawan kat sini banyak kelas, so aku dok diam-diam je la dalam bilik hari ni.


Nak makan, macam tak berani pulak nak memandai-mandai beli. Takut termakan yang haram, susah pulak nanti. So, menu hari ni makan keropok, air yogurt dan snickers je lah. Masalah bahasa merupakan masalah utama bila berada kat negara-negara macam ni.


Kadang-kadang ada jugak orang korea cuba bersembang, dan aku cuba untuk memahami. Malangnya memang haram sepatah aku tak faham!


Sebelum ni aku pernah menulis pasal kerjaya, masa aku keliru dulu nak pilih kerjaya apa. Segala-galanya berubah lepas aku memilih untuk jadi PR kepada kawan aku. Ittu jalan yang aku pilih dan aku sama sekali tak pernah salahkan sesiapa dengan pilihan aku itu. Selepas tu, aku mula cuba serius dengan kerjaya sebagai travel agent dengan syarikat sendiri.


Masa dulu memang aku selalu nasihat kat kakak aku yang berniaga dan orang-orang yang dalam perniagaan ni, bila diorang mengadu kat aku pasal perniagaan. Aku akan menasihatkan dengan ayat yang kononnya 'bombastic', "berniaga memang la susah, sebab tu ia jadi sunnah."


Sekarang aku sendiri merasai apa yang mungkin diorang rasai dulu. Lebih mencabar lagi apabila benda ni makan masa yang agak lama dan tidak selesai-selesai. Sekarang aku kat Seoul, takde sape tempat untuk aku luahkan rasa. Nak call Malaysia pun susah dengan sistem telefon kat negara ni.


Jadi aku menghadapi ujian ni seorang diri. Ooppss, aku tidak keseorangan sebenarnya. Aku ada Allah yang Maha Mendengar dan Maha Mengasihani. Memang sekarang terasa sangat Allah je tempat untuk aku mengadu.


Banyak sangat dosa kot sampai ujian yang aku diuji dengan ujian tang aku rasakan amat berat ni. Aku dah berdoa, aku dah bertawakkal..sekarang aku hanya harap keajaiban daripada Allah. Mungkin bagi manusia ia adalah mustahil, tapi aku yakin tiada apa yang Mustahil bagi Allah, sang Pencipta.


Tak pernah aku rasa tekanan macam ni sepanjang hidup aku. Masa jadi lawyer dulu tekanan jugak, tapi aku rasa tekanan kali ni bukan calang-calang.


Aku mohon agar Allah mempermudahkan jalan rezeki aku untuk aku membina jalan mendirikan rumah tangga. Aku mohon juga agar Allah mengurniakan rezeki agar aku dapat menyara abah dan mak yang semakin hari semakin tua.


Dalam hati aku sekarang, niat adalah untuk bawa mak dan abah pergi umrah. Semoga Allah makbulkan doa aku ni. Aku juga berdoa agar rezeki aku nanti dapat aku infaqkan untuk pembinaan Dana Darussolehah, mudah-mudahan impian abah dan mak dapat direalisasikan..Aku mohon Ya Allah, Kau permudahkanlah urusan aku ini..


Sesungguhnya aku tiada tempat mengadu selain daripada-Mu, Ya Rahman..Ya Rahim..bantulah aku dalam menghadapi saat-saat sukar ini..aminnnn

Wednesday, August 3, 2011

Antara Peguam, Minat dan Masa Depan Yang Belum Pasti

Antara Peguam, Minat & Masa Depan Yang Tidak Pasti.

Sebenarnya persoalan macam tajuk penulisan ni dah lama bermain dalam fikiran aku, dan tiba-tiba secara kebetulan aku terbaca penulisan kawan aku, Penyair Purba pagi ini yang bertajuk “Apa yang sebenarnya kita nak dalam hidup ni?”. Jadi tergerak pulak hati ni nak berkongsi apa yang aku rasa sekarang (tu pun kalau ada org yang baca la…hehe).

Persoalan hala tuju hidup aku semakin bersarang dalam fikiran aku semenjak dua menjak ni terutamanya bila aku mengambil keputusan untuk menyerahkan surat perletakkan jawatan aku sebagai peguam di ofis aku pada bulan lepas. Memang aku akui keputusan ini agak drastik sebab aku baru je kat ofis Penang ni dalam 4 bulan. Sebelum ni di Shukor Baljit & Partners, KL aku bekerja selama lebih kurang 9 bulan sebelum bertekad mengambil keputusan berhijrah ke Penang. Alasan aku pada masa itu adalah untuk lebih dekat dengan parents aku kat Taiping. So campur kedua-duanya lebih kurang dah setahun la aku menjadi peguam ni. Kalau campur dengan tempoh chambering lebih kurang 2 tahun la.

Bagi aku, profession sebagai ‘Lawyer’ ni adalah satu profession yang ‘glamour’ dan sering dipandang dari pelbagai sudut oleh masyarakat. Ada yang memandang Peguam ni kaya-kaya belaka walaupun secara realitinya tidaklah sebegitu. Tetapi mungkin benar untuk peguam-peguam yang bekerja di firma-firma besar. Tetapi seperti yang dikatakan oleh rakan aku di atas, yang kaya adalah Bos. Tetapi nak buat apa mengeluh sebab kita ni hanya pekerja dan bekerja untuk bos, jadi selayaknya kita bersyukur je lah dengan gaji yang kita dapat sebagai pekerja.

Selain itu ada juga yang memandang pekerjaan lawyer ini juga satu profession yang bergelumang dengan dosa. Terutamanya peguam-peguam yang berurusan dengan hal-hal bank (Banking Matters), seperti Banking Litigation, Conveyancing dan lain-lain kerana mereka ini terdedah kepada unsur-unsur riba. Ada benarnya juga persepsi mereka ini jika di lihat pada maksud sebuah hadis Rasulullah s.a.w - yang bermaksud :
“Allah s.w.t telah melaknatkan orang yang makan riba’ orang yang berwakil padanya dan jurutulisnya dan saksi-saksinya dan mereka berkata mereka itu sama sahaja. “(Riwayat Muslim)

Tetapi aku tidaklah mengatakan ia adalah haram, mungkin ada pengecualian kepada hadis ini bagi mereka yang menyatakan pandangan sebaliknya sebab Islam itu tidak merumitkan. Tepuk dada, tanyalah iman. Wallahu’alam.

Bagi aku, jiwa aku masih ada pada profesyen sebagai peguam. Mungkin sebab aku ni jenis suka menjawab dan mencari rasional dan logik disebalik apa yang berlaku di hadapan mata aku. Kadang-kadang ada jugak berlaku perselisihan pendapat dengan mak aku bila aku suka melontarkan pandangan tentang apa yang mak aku ucapkan sampai pada satu masa, mak aku cakap, “Lawyer ni memang suka putar belit ye?”. Aku tak salahkan mak sebab mungkin mak tak tahu perkara yang sebenar. Untuk mempersiapkan diri menjadi Peguam, kami memang diacu mengikut sistem pembelajaran untuk sentiasa mencari ‘rasional’ dan alasan disebalik apa yang terjadi semasa di Universiti dahulu. Setiap hujahan perlu ada rasional dan begitu juga dengan hujahan balas. Jika berhujah kosong, peguam itu tidak akan dipandang sama sekali oleh pihak Mahkamah dan bolehlah diibaratkan sebagai menyerahkan leher untuk dipancung oleh Hakim. Justeru, mungkin kerana sudah terbiasa perkara ini terbawa-bawa ke dunia luar.

Berbalik semula kepada tajuk di atas, orang kata umur baya-baya aku (24-30 tahun) ini lah tempoh paling ‘crucial’ untuk menentukan hala tuju hidup aku pada masa hadapan. Jangan sesekali tersalah pilih sebab apa yang kita buat sekarang, itulah yang bakal mencorak masa depan kita. Sebenarnya disekelililing aku pun dah banyak contoh-contoh orang yang ‘mungkin’ tersalah pilih jalan. Mungkin sebab itu kakak sulung aku pun menasihati aku supaya fikir masak-masak jika mahu meninggalkan profesyen ini. So, dalam tempoh notis ni fikiran aku kadang-kadang berkecamuk. Apa yang paling membuatkan aku bingung adalah sebab niat asal aku ke Penang ni adalah untuk lebih dekat dengan Mak dan Abah. Namun selepas 4 bulan, aku seakan-akan bermudik kembali ke bandar yang membuatkan aku kembali jauh dengan mak dan abah. Tetapi Alhamdulillah Mak dan Abah memahami dan meredhakan aku untuk mencari hala tuju hidup aku sendiri. Agak lega sedikit rasa hati ini.

Namun ada lagi persoalan yang membelenggu fikiran aku. Kemana hala tuju hidup aku selepas ini? Adakah aku sepatutnya masih lagi berada dalam bidang ini yang sememangnya bidang aku ataupun aku harus meneruskan usaha dan impian dan minat aku yang telah sekian lama terpendam. Kadang-kala terasa goyah jugak pendirian ini bila difikir-fikirkan. Tapi Alhamdulillah, jalan yang gelap pada awalnya kini semakin nampak papan tanda hala tujuannya. Walaupun masih jauh hala tujuannya dan mungkin lebih banyak simpang dihadapan, tetapi aku berpegang dengan kata-kata seseorang yang meyakinkan aku bahawa asalkan ada pengetahuan dan minat, InsyaAllah boleh berjaya.

Tetapi cukupkah jika hanya ada minat tanpa ada pengetahuan? Orang kata nak buat sesuatu kena ada pengetahuan baru boleh berjaya. Tapi secara rasionalnya, jika minat itu ada InsyaAllah kita akan mencari pengetahuan itu. Semalam aku dan rakan sepejabat dijemput ke rumah big bos aku di Penang untuk sambutan hari lahirnya. Setibanya aku dirumahnya, mata dan fikiran aku seakan terpaku dengan keindahan mahligai rumahnya yang pada aku adalah rumah idaman untuk sesiapa sahaja yang ada wawasan dalam hidup mereka. Ini seolah-olah menjadi motivasi untuk aku supaya meneruskan cita-cita aku ini. Cuma, aku perlu tanamkan dalam hati bukan senang untuk menjadi senang. Aku yang mencorak masa depan aku, jika bukan sekarang bila lagi aku mahu memulakan langkah? Cakap-cakap orang yang mengatakan “kerja dengan orang sampai bila pon tak kan senang” mungkin ada kebenarannya.

Tetapi yang paling penting adalah niat, usaha dan sabar itu adalah kunci kepada semuanya. InsyaAllah, ada usaha, adalah jalannya. Yang penting percaya bahawa rezeki itu datangnya daripada usaha yang Ikhlas.



Friday, June 24, 2011

Syabas dan Tahniah Imam Muda Hassan..

Mengapa IM Hassan adalah calon paling layak bagi Imam Muda Unggul 2011?

Alhamdulillah..akhirnya berkat usaha gigih, tawakkal serta doa daripada ahli keluarga, sahabat handai serta kelab penyokong Imam Muda Hassan, akhirnya segala titik peluh menampakkan hasil apabila layak untuk ke Final Imam Muda musim kedua ini. Terima kasih kepada semua yang mendoakan, tanpa doa kalian, mungkin hajat ini tidak kesampaian. Ini mungkin coretan yang mungkin mem'promosi' IM Hassan, tp aku rasa tidak salah untuk mempromosi sesuatu untuk kebaikan. Coretan ini adalah ikhlas daripada seorang sahabat yang telah 11 tahun membesar bersama di sekolah, di alam Universiti yang seterusnya melangkaui alam pekerjaan.

Secara jujur dan ikhlas, aku sendiri terkejut dengan perkembangan mendadak sahabat aku ni. Seperti yang aku nyatakan pada post sebelum ini, Hassan dah banyak berubah untuk mempertingkatkan diri. InsyaAllah aku nampak ada potensi besar untuk dia menjadi Imam Muda Unggul musim kedua.

Aku tersentuh, semasa mula-mula menyertai program Imam Muda, ketika semua perhubungan luar diputuskan, dia sempat juga memboloskan sewarkah surat kepada aku ketika aku dan dia mula mencari haluan hidup sendiri. lebih terharu, surat itu aku baca ketika aku terlantar di hospital kerana sedikit keuzuran. Ketika dia masih di Kuala Lumpur untuk meneruskan kehidupan, aku pula cuba mencari angin baru di Pulau Pinang. Surat itu amat menyentuh hati kerana selain mengucapkan hari lahir kepada aku, dia sempat menitipkan kegusaran yang bersarang di hati, memohon nasihat dan teguran agar dia tidak leka dihanyutkan arus populariti dengan rancangan Imam Muda ini. Aku nampak keikhlasan daripada tulisan tersebut kerana dia sememangnya sangat takutkan sifat riya' , ujub dan takabbur menguasai diri. Bimbang jikalau niat untuk menyertai Imam Muda tersimpang daripada maksud sebenar.

Ya, aku juga akui memang bukan mudah untuk meluruskan niat apabila di ambang populariti. Syaitan dan nafsu akan sedikit demi sedikit cuba memujuk hati supaya melupakan niat sebenar. Tapi InsyaAllah, di belakang dia ada ramai yang menyokong. Dia ada seorang Ibu yang amat memahami dan menyayangi. Dia ada adik beradik yang sentiasa menyokong kerjayanya ini, dia ada sahabat yang akan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk dia dan dia ada ramai kenalan yang akan membantu dia pada bila-bila masa. Kerana dia adalah seorang yang jarang menghampakan apabila diminta untuk ditolong.

Dengan segala pengalaman, latar belakang pendidikan, gaya penampilan, bakat semulajadi serta kemahiran berkomunikasi..dia adalah calon terbaik untuk Imam Muda Unggul musim kedua ini. Dia memegang status graduan Ijazah Sarjana Muda Kuliyah Ilmu Wahyu, khusus dalam bidang Al-Quran dan As-Sunnah dari Universiti Islam Antarabangsa dan sedang dalam perjalanan untuk menamatkan Ijazah Sarjana (Master) di Universiti Malaya. Selain itu, Hassan juga banyak kemahiran lain yang melibatkan kesenian dan keagamaan sperti nasyid, taranum, berzanji dan sebagainya. Buktinya, dia terpilih sebagai salah seorang finalis untuk Akademi Al-Quran musim lalu. Pada tahun lepas juga, Hassan telah menjuarai musabaqah taranum di perningkat Wangsa Maju.

Tak lupa juga, banyak pengalaman yang telah ditimba apabila aku bersama Hassan dalam program kembara ilmu ke Syria, Jordan dan Turki pada tahun lepas. Hassan sempat menadah kitab bersama para alim ulama' semasa di sana. Walaupun hanya 2 bulan, tetapi pengalaman itu sangat bermakna kerana bukan mudah untuk mendapat pengalaman sebegitu rupa. Daripada segi pengalaman sebagai pendidik, tidak dinafikan dia adalah calon terbaik untuk mengisi tempat sebagai Imam Muda Unggul pada tahun ini. Pengalaman menggalas tugas profesional sebagai pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa bukan sembarangan. Kebanyakan pelajarnya adalah daripada kalangan 'foreigner' yang sudah tentu memerlukan teknik istimewa untuk memikat hati mereka memahami dan meminati pelajaran yang diajar bak kata pepatah, lain orang lain caranya.

Selain itu juga, masih terkenang ketika dia baru menjinak-jinakkan diri dengan ilmu tarannum. Walaupun ilmu tarannum nya tidaklah sehebat Sharifah Khasif, tetapi mempelajari ilmu tarannum adalah sesuatu yang agak sukar. Masih terngiang di telinga ketika dia menyatakan bahawa orang yang pandai bertaranum sudah pasti pandai menyanyi, tetapi orang yang pandai menyanyi tidak semestinya boleh bertaranum. Kerana minat yang mendalam untuk mempelajari salah satu cabang ilmu al-Quran, beliau sanggup untuk mempelajari ilmu taranum dibawah tunjuk ajar Ustaz Zul di taman melawati pada setiap pukul 10 pm sehingga 3 pagi pada setiap hari Jumaat.

Mungkin ini sahaja coretan untuk kali ini sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada dia. Bukan berniat mahu merendahkan Imam Muda lain, tetapi secara jujurnya aku rasa Hassan memang layak untuk dinobatkan sebagai Imam Muda Unggul. Untuk menjadi ikon masyarakat, status pendidikan, pengalaman serta pelbagai kebolehan sangat penting untuk memenuhi kriteria yang diinginkan oleh masyarakat. Walaubagaimanapun, niat serta matlamat perlulah sentiasa diawasi. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya ini..Sekiranya gelaran Imam Muda Unggul ini akan membuatkan dia lupa diri dan tersasar daripada matlamat perjuangan menyebarkan dakwah, maka kau jauhkanlah ia semoga tiada sifat riya' dan takabbur yang boleh merosakkan dirinya satu hari nanti.

InsyaAllah..sama-sama kita doakan kejayaan Hassan pada episod final 1 Julai ini..


Aminnnn....

p/s: entry ini tidak dibayar :-p






Sunday, April 24, 2011

Tahniah sahabatku, Selamat Berjuang...

Setelah sekian lama membiarkan blog ini usang, hati ini tiba-tiba tergerak untuk meng'update' isi blog ini. Tak lain tak bukan, entry khas untuk seorang sahabat yang sangat kukenali yang empunya nama Mohd Hassan Adli Yayha.

Alhamdulillah di atas kejayaan beliau menjadi salah seorang finalis Imam Muda Musim Kedua dan sebagai seorang yang rapat dengan beliau, aku merasa bangga diatas kejayaan dan pengiktirafan tersebut. Maklumlah, bukan mudah untuk menjadi peserta kepada salah sebuah program yang mendapat perhatian umum dan liputan meluas media ini. Sekali lagi aku ucapkan syabas Hassan!!

Selama lebih kurang 12 tahun mengenali dia, Hassan (nama panggilan) atau adli (nama panggilan keluarga) yang saya kenal amat menyenangkan. Tidak pernah menyusahkan orang dan sangat bertanggungjawab. Dia juga aku kenal sebagai seorang yang cukup berdikari dan berusaha keras. Macam-macam benda aku tengok Hassan ni buat dari dulu sampai sekarang. Kalau dulu boleh la aku kata hidup dia agak sempit, tapi aku sangat kagum sebab dia tak pernah jemu berusaha dan tak suka meminta-minta.

Satu benda yang sangat aku hormat kat dia adalah dia pandai memanfaatkan bakat yang dikurniakan. Macam-macam benda yang dia buat, berniaga, mengajar nasyid, mengajar agama dari rumah ke rumah, jadi imam, sampai la jadi pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Gombak. Alhamdulillah, aku tengok banyak benda yang dia selalu share, cerita kat aku dulu dia dapat sekarang atas usaha dia..well done bro!!

Hassan juga sangat mudah untuk didekati, memang kadang-kadang amat pemalu especially dengan perempuan. Tapi dia cepat sesuaikan diri sebab dia pandai ambil hati orang. Sepanjang aku kenal dia, aku rasa dia sangat disenangi, tak pernah ada musuh dan dia sangat jarang menghampakan hajat orang dan akan sedaya upaya untuk menunaikan hajat tersebut. Mungkin sebab itulah Allah permudahkan urusan dan murahkan rezeki dia.


Aku bangga dengan kau hassan. Hassan yang aku kenal selama ini rupanya dah meningkat jauh lebih matang dan dah mula membina tapak dalam hidup dia. InsyaAllah doa aku akan sentiasa mengiringi karier dakwah kau. Semoga kau dapat menggapai apa yang kau hajatkan. Jadikan platform ini sebagai satu platform untuk kau lebih gigih untuk berdakwah selepas ini.

Aminnn....

Buat masa ni, ini je lah dulu coretan daripada aku. Sebagai sahabat, mungkin ini je cara nak tujukkan sokongan aku kat kau. Insyaallah kalau panjang umur, aku tulis lagi pasal kau..hehehe..

Tuesday, March 29, 2011

Aku tersepit..

Aku tersepit...
Aku tertekan...
Semua salah aku...
Terasa macam x nak lagi menghadap dunia ni...
Tapi nak ke Allah menerima aku?

Tuesday, February 8, 2011

Hari ini aku masih bernafas
Hari ini aku masih bekerja
Hari ini aku masih menggunakan nikmat-nikmatNya
Walaupun aku telah menderhaka kepadaNya...

Setiap lima waktu aku berdoa
Aku mohon agar Dia mendengar doaku
Kekadang seakan mengajar Dia yang lebih mengetahui
Tapi hati ini selalu lupa
Lupa akan amanah Dia kepadaku
Aku sering berdosa kepadaNya..

Selalu aku memohon ampun kepadaNya...
Namun aku selalu terlupa
Mungkin juga sengaja pejamkan mata
Untuk apa segala tegahanNya
Untuk segala yang diperintahkanNya

Sesungguhnya diri ini berdosa
Diri ini tidak layak untuk syurgaMu
Tetapi diri ini tidak mampu
Untuk menahan pedih azab nerakaMu

Kau jadikanlah diri ini
Seorang yang sentiasa dekat denganMu
Jadikan aku seorang yang selalu mengingatiMu
Dalam setiap amalanku
Agar aku selalu mengerti
Indahnya nikmat syurgaMu
Pedihnya azab nerakaMu...

Tuesday, April 6, 2010

Din, aku rindukan Kau...

Credit to:http://www.shinta-usmie.blogspot.com/

UBAT SAYA SUDAH PERGI...
oleh Aznil Haji Nawawi

ASSALAMUALAIKUM! Paknil yakin pasti ramai tahu apa yang ingin Paknil borakkan dalam ruangan minggu ini kalau bukan cerita mengenai Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau lebih dikenali sebagai Din Beramboi.
Paknil percaya ramai rakyat Malaysia merasa kehilangan pelawak serba hebat dan penyampai radio yang ligat setiap pagi bersama Paknil di Riuh Pagi Era.


Kita akan merindui lawak merapu dan gila-gilanya sebab bagi Paknil, Din seorang saja yang boleh melakukan itu.


Setiap pagi Isnin hingga Jumaat, Paknil pasti berderai tawa terbahak-bahak sebab Din Beramboi membuat lawak yang terbit secara spontan dan luhur dari hatinya.


Bila itu terjadi, Din Beramboi akan berlawak dengan gaya sekali sedangkan kami hanya di radio! Siapa yang nampak gerak gaya Din bila lawaknya ke udara, tetapi itulah Din Beramboi. Dia memang bersungguh-sungguh bila melakukan kerja yang digemarinya.

Din, siap nak bawa sarapan?

Din sering bertanya sama ada Paknil akan berpuasa pada keesokan harinya kerana dia sentiasa nak bawa sarapan pagi untuk Paknil. Bila Paknil tak puasa, pasti ada satu bekas penuh kuih lopes yang dibawanya dari rumah.


Dia cakap, orang tua macam Paknil memang suka makan kuih ‘old school’! Dia kata orang muda macam dia cuma makan sandwich dan chicken pie!

Paknil sering usik Din dengan perkataan ‘Cur Cur Mak’. Kalau nak tahu, sebelum masuk konti radio awal pagi, selalunya Din kata, dia tak mahu sarapan sangat sebab nak diet tapi Paknil kata: “Sudahlah! Mesti dah Cur Cur Mak sebelum ini.”

Din sebenarnya mesti singgah di kedai mamak berdekatan Astro sebelum mulakan pagi untuk makan. Cur Cur Mak tu maknanya Curi Curi Makan!

Din, kenapa biar aku buat kerja seorang sekarang?

Pernah ada satu ketika Din terlewat ke konti radio sebab terlewat bangun. Bayangkan dia pecut kereta dari rumahnya di Rawang ke Astro dan sempat juga mendengar Paknil ke udara seorang diri di Riuh Pagi Era.

Sampai di studio, dia tahu Paknil bengang ketika itu tapi dia cakap dia sedih bila dengar Paknil kerja ‘sorang’ sebab dia kata macam tak meriah di udara. Jadi dia minta maaf sangat sebab terlewat dan berjanji untuk tidak lewat lagi selepas itu.


Sememangnya Din tidak pernah lewat lagi, malah kerap pula dia tiba lebih awal daripada Paknil.


Din, sekarang kau dah tak ada. Kalau kau dengar aku sorang-sorang di radio mungkin dah tak meriah kan? Aku pun tak tahu sama ada aku nak teruskan atau tidak kerja ini.


Bayangan kau terlalu kuat di sebelah aku, jadi aku rasa seperti tidak akan dapat bangun seperti dulu lagi!

Din, pilih tempatlah untuk melawak!

Sebagai abang, Paknil pernah juga menegur perangai Din yang suka melawak tidak bertempat. Pernah ketika Paknil mengendalikan segmen Merisik Khabar, Paknil tersentuh dengan cerita pemanggil sehingga menitiskan air mata.


Din yang ada di depan Paknil ketika itu ketawa melihat Paknil yang tersedu-sedu. Hangat juga hati ketika itu apabila Din cuba membuat lawak, sedangkan kami berbual mengenai sesuatu yang menyayat hati.

Paknil tegur dia: “Din, kau boleh tak pilih masa dan tempat untuk berlawak?” Jawapan Din benar-benar menginsafkan Paknil. Katanya: “Kalau menangis boleh selesaikan masalah orang itu, dia pun akan menangis sekali. Muka sedih dan menangis bukan boleh selesaikan masalah.”

Din memang ingin jadi ubat kepada wajah sedih orang. Dia nak orang senyum gembira saja. Dia memang akan memanggil Paknil sebagai orang yang cengeng dan sebab itu dalam Raja Lawak ada ketika dia tegur Bob Lokman yang berair mata ketawa sama seperti buruknya Paknil menangis.


Sekarang dia pasti nampak betapa buruknya muka Paknil menangisi pemergiannya.

Din, kau nak cuti panjang kan?

Sememang Paknil kena ambil cuti panjang dalam minggu ini untuk menyempurnakan rakaman Jangan Lupa Lirik. Din Beramboi adalah orang yang sangat suka bila Paknil minta cuti daripada Era kerana dia tahu kalau Paknil cuti, dia pasti cuti juga.


Dia cakap: “Aku untung tak payah pergi mengadap minta cuti sebab kau yang pergi mengadap. Bila kau cuti, aku pun cuti jugak.”

Paling akan Paknil ingat apabila Din akan ‘countdown’ kiraan hari menjelang tarikh kami bercuti setiap hari tanpa gagal. Sekarang kau pula yang cuti panjang.

Din Mr Sengal?

Din suka juga bagi gelaran pada kami di Era. Macam-macam nama yang dia cipta untuk orang yang dia usik.


Penerbit Riuh Pagi Era, Azizan dipanggilnya KURUS atau kadangkala dipanggil KURSUS. Ada yang digelar Ciputlah, Bruce Leelah, Dharmalah, Pen Drivelah dan macam-macam lagi.


Gelaran itu semua muncul secara spontan dan Din juga biasanya memanggil orang itu secara depan-depan. Mereka yang dipanggil itu pula tidak ambil hati kerana faham sangat perangainya.


Tiba-tiba masa Paknil bekerja sendiri ketika Din tenat, Paknil terima panggilan daripada pendengar Era yang menggelarkan Din sebagai Mr Sengal.


Katanya: “Bangunlah Mr Sengal ku. Pagi ku tidak sama lagi tanpa kehadiran Mr Sengal yang selalu buat lawak sengal! Bangunlah please…!” Kini Mr Sengal dah jadi Mr Senyap.

Suka hantar SMS yang mengarut

Paknil memang tidak suka ber‘SMS’ dengan Din sebab dia suka hantar SMS yang entah apa-apa. Pernah Paknil hantar SMS kepada Din tanya kenapa dia nak Alex Raja Lawak gantikan dia bila dia tidak ada di Era lagi? Din jawab: “Sebab dia tak tahu nak komen apa untuk Alex yang memang best!”

Baru-baru ini masa dia sakit, Paknil ada hantar SMS pada Din. Paknil cakap: “Din, cepatlah baik demam. Tak bestlah buat kerja sorang-sorang.”

Nak tahu apa yang Din jawab pada Paknil?

“Bukan sakit tapi rasa nak mati. Semua dah rasa kebas. Tu tanda-tanda nak mati lah.”

Din, aku rindukan engkau

Mungkin ini tidak pernah Paknil ucapkan pada Din sebab memang tak pernah rindukan dia, tapi kini setelah Din tiada, baru Paknil seperti terdengar bunyi ketawanya, bunyi batuknya, bunyi dengkurnya (kadangkala dia terlelap juga dalam konti... hehehe).


Paknil pun tak tahu apa makna Riuh Pagi di Era lagi sebab Paknil tidak pasti sama ada akan adakah lagi riuh itu apabila Din sudah tiada. Paknil tidak akan mampu menjalani tugas di konti sebab di setiap sudut Paknil akan terbayang kehadiran Din Beramboi.


Din, kau pergi tanpa beri amaran. Habis senyum dan tawa aku kau bawa sekali. Kini aku masih mencari orang yang boleh kembalikan senyum dan ketawa itu. I MISS YOU MY BRO!

Monday, January 4, 2010

Sahabat..Semoga Kau Tenang Menemui Pencipta Mu


Sebuah Memori yang Kini hanya tinggal Kenangan..

Tanggal satu Januari 2010 merupakan satu tarikh yang mungkin indah bagi orang lain, tetapi tidak bagi aku. Lebih kurang dalam pukul 11.36 pm, tiba2 aku mendapat satu panggilan telefon daripada seorang teman, Lotpi dan aku tidak mengesyaki sesuatu cuma menyangka yang dia mahukan jawapan tentang satu permintaan yg dibuatnya pagi td kepada aku. Lalu aku menjawab telefon:
Lotpi: Assalamualaikum Jarir, ko ade dengar brita tak?
Aku : Wa alaikumsalam..berita pasal ape?
Lotpi: Mad Syria, dia dah meninggal..
Aku: Eh..ko biar Lotpi?

Aku cuba mendapatkan kepastian dikala hati aku ni begitu luluh mendengar perkhabaran yang sama skali aku x sangka tu..

Lotpi: Betol, mujahid baru call aku. Mad meninggal sebab kemalangan senja tadi.
Aku: Innalillahi wa inna ilaihi raaji'un..

Bergenang air mata ni mengalir, x sangka kau pergi begitu cepat mad, meninggalkan aku dan kawan2 di sini..Berita tadi amat mengejutkan aku dan semua kawan2 yang aku hubungi. Aku x berpuas hati, kemudian aku cuba mendapatkan nombor telefon dari seorang sahabat aku, Sufi semasa aku menziarah Jordan dahulu.

Aku: Assalamualaikum sufi, ni Jarir ni. Aku nak tanya, betul ke Mad dah xde?
Sufi: Wa alaikumsalam..betul, Mad kemalangan petang td.
(Jawab Sufi dalam nada sayu. Sufi adalah salah seorang rakan baik Allahyarham Mad. Sedangkan aku yang bersama Mad di Syria dlu dlm tempoh 2 bulan pon terasa sedih, ini kan pula Sufi yang dah kenal Mad sejak darjah satu lagi.)
Aku: Macam mana boleh eksiden?Ko kat umah dia ke?Jenazah ada kat situ?
Sufi: Mad terbabas senja tadi. Dia bawak kereta, time tu hujan..kereta dia terbalik. Aku kat rumah dia, jenazah x balik lagi, tgh dimandikan kat hospital. Lambat sebab baru habis buat post-mortem.
Aku: Ok, thanx sufi..sabar yek.

Aku xnak berbicara lebih panjang lagi sbb aku tau sufi tgh sedih sangat. Malam tu aku rase x keruan. Macam mana utk aku ke Negeri Sembilan sedangkan aku jauh berada di kampung halaman di Perak. aku bertanyakan hasan, mana tahu kot ada alternatif nak ke sana. Tapi, atas faktor masa dan keadaan, kami membatalkan niat kami ke sana.

Sedih, terkilan, terkejut, kesal..semua bermain di hati aku. Aku sedih sebab x sempat menunaikan hajat Allahyarham yang ingin berjumpa aku sekembalinya dia dari Syria. Permintaan dia untuk berjumpa aku, aku ambil kisah x kisah je. X sangka kini aku tak lagi berpeluang untuk berjumpa dia.

Segala memori ketika aku di Syria bersama Mad, bermain ligat di ingatanku. Masih aku terbayang, tanggal 19 April 2008, bayang seorang lelaki berbaju kuning ceria menanti aku dan rakan2 di Lapangan Terbang Damascus. Malam tu Mad membawa aku dan Hasan balik ke rumah sewa aku di bandar Dimashq. Mad bancuh air utk kami, kemudian Mad, Fizi dan Fahmi membawa aku dan Hasan menikmati makan malam di sebuah restoran Nasi Mandi di bandar Dimashq. Sejak hari tu, aku dan Mad menjadi begitu rapat. Kalau nak beli barang, Mad memang tak pernah menolong untuk bawak kami. Mad jugakla yang byk mengajar aku cara untuk berkomunikasi dengan masyarakat Syria.

Mei 2008, Mad mempelawa aku dan Hasan untuk menziarah Jordan. Kami berlepas ke sana dan Mad yang menguruskan pengangkutan kami ke sana. Di sana, Mad membawa aku dan hasan ke rumah adiknya, Dol yang menetap di sana. Selama aku di sana, aku dan Mad menjadi semakin rapat, kami berjalan ke merata tempat di Jordan. Dari rumah Dol, kami ke Amman dan terus ke Mu'tah dengan menyewa sebuah kereta. Keesokan harinya kami ke Petra. Pelbagai memori dengan Mad bermain diingatan aku. Kami bergambar sambil berbaring, melompat di tengah jalanraya..dan yang paling aku x boleh lupa, ketika dalam perjalanan pulang dari Petra, kami dikacau oleh makhluk halus..terasa seram dan ketika itu Mad yang bawak kereta. Indahnya kenangan ketika itu. X lama sekembalinya kami dari Jordan, Mad dan Hafizi membawa kami ke Halab untuk menziarah tempat2 bersejarah di sana. Di Halab, aku, Mad, Hasan dan Fahmi duduk sebilik..

Akhir mei 2008, Final Champions League antara Man United dan Chelsea. Aku xde teman yang boleh membawa aku untuk menyaksikan pasukan kegemaran aku beraksi. Tiba2 Mad dtg ke rumah aku dan mempelawa aku ke sebuah restoran utk menyaksikan perlwanan bola tersebut. Aku dan Mad menaiki service dan Teksi utk ke sana. Aku dan Mad sangat ceria malam tu ketika dalam perjalanan pulang. Lebih kurang seminggu sebelum aku balik ke Malaysia, Mad membawa aku ke rumah Peter, seorang kenalan dari Slovakia dan kami ke Muzium Perang pada petang itu..

Tanggal 13 Jun 2008, aku pulang ke Malaysia, dan rupanya itulah kali terakhir aku berjumpa dengan Mad.

November 2008
Mad menghubungi aku sekembalinya dia dari Syria. Ketika tu aku sedang menyiapkan satu assignment. Mad menyatakan hajat untuk bertemu aku dan Hasan, tapi disebabkan sibuk aku tangguh dlu permintaannya itu. Mad rajin jugak mesej aku, dan yang terakhir adalah ketika mengucapkan Salam eid Adha pada bulan november yang lalu, dan aku x pasti sama ada aku reply atau tidak sms tu.

Kini semua tinggal kenangan..Terngiang-ngiang loghat pekat negeri sembilan Mad ditelinga aku ketika ini. Aku kesal sbb x dapat memenuhi hajat Mad untuk berjumpa. Tapi apakan daya, semua dah terlambat. dan yang paling aku kesal, aku x dapat memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham..hati aku menangis..Maafkan aku Mad. Tapi itulah yang dinamakan taqdir, semua yang berlaku adalah dibawah kehendak Allah. Mad pernah meluahkan hasrat nya untuk mencari pasangan hidup, tapi nampaknya hajat tu x kesampaian..Tapi aku pasti, Mad sekarang sedang berbahagia di alam sana, alam yang kekal abadi bersama bidadari-bidadari Syurga..
Allahyarham disemadikan berhampiran Maahad Tahfiz tempat dia menuntut ilmu dahulu pada tanggal 2 Januari 2010 selepas zohor.


Muhammad bin Abdol Razak, semoga kau tenang menghadap Tuhan Pencipta-Mu..

Friday, December 11, 2009

Tips Berguna Untuk Penjenayah

1.Pastikan anda membawa kad pengenalan
Banyak masalah akan timbul jika anda tidak membawa kad pengenalan kerana jika anda ditembak mati, sukar untuk polis mengenalpasti identiti anda.
Sudah tentu sanak-saudara atau ahli keluarga anda lamabt mengetahui, bahawa penjenayah yang ditembak mati dan disiarkan TV dan akhbar itu, adalah anda. Jangan menyusahkan mereka. Mereka juga perlu kumpul duit untuk belanja pengkebumian anda

2.Jangan bawa kad pengenalan palsu
– ini lagi satu masalah. Jika anda gunakan kad pengenalan orang lain, nanti orang itu akan disalah sangka sebagai penjenayah, sedangkan dia sedang enak tidor di rumah semasa anda ditangkap/tembak mati.

3.Buka topi keledar
– Tahukah anda, setiap bank mempunyai CCTV mereka sendiri. Jika anda tiba-tiba memasuki bank/kedai emas dengan bertopi keledar ketika merompak, macamana nak tau yang anda adalah yang merompak itu. Ini mengurangkan glamor anda kerana sudah pasti sukar untuk polis lukis foto-fit anda untuk disiarkan oleh media.

4.Ragut cara berhemah
– jika anda terus meragut beg tangan dari bakul motosikal, risiko anda terjatuh atau turut terseret adalah tinggi. Ini akan memudahkan orangramai menangkap anda. Jadi, jika anda rasa, susah sangat nak ambil beg tangan itu, lupakan sajalah hasrat anda itu. Masih ramai lagi orang lain yang cuai menjaga beg tangan mereka untuk anda ragut.

5.Jangan pakai sarung tangan
– tahukah anda, sarung tangan yang anda pakai, mungkin merbahaya, kerana ia tidak disteril .Kemungkinan jari-jari anda mendapat gatal-gatal adalah tinggi. Lagipun, anda membazir duit membeli sarung tangan itu. Sarung tangan biasanya akan digunakan oleh anggota polis semasa mengangkat mayat anda yang dah ditembak itu.
Suri rumah juga ada yang menggunakan sarungtangan ketika menyiang ikan atau ketika mencuci tandas.

6.Pastikan memandu secara berhemah
– Ketika anda melarikan diri dari polis, pandulah dengan cermat. Anda akan mendapat bala yang amat banyak jika anda berjaya ditahan kelak. Bayangkan, sudahlah anda ditahan kerana merompak, nanti kesalahan anda akan bertambah-tambah – pandu laju, cuai, tiada lesen memandu, lesen memandu palsu, lesen tamat tempoh, lesen palsu, cukai jalan palsu, cukai jalan tamat tempoh, kereta pulak adalah kereta curi, tidak memakai talipinggang keledar. Jadi, pandulah berhemah, kerana jika anda ditangkappun, anda dah dapat menyelamatkan diri anda dari berbagai kesalahan lain.

7.Jangan gopoh
– anda seorang penjenayah profesional. Jadi, setiap tindakan jangan gopoh, dan paling penting, jangan tamak. Jika anda lihat, agak susah untuk merompak, tinggalkan saja tempat itu. Dan jika anda dah berjaya pecahkan cermin pameran kedai emas, tiba-tiba alarm berbunyi, anda lari sajalah. Sekurang-kurang anda dah berjaya pecahkan cermin itu. Datanglah lain kali kerana anda nanti dah tak perlu pecahkan lagi cermin itu.

8.Test power anda
– untuk menjadi pro, anka kena banyak latihan. Setakat anda berlatih dengan merompak kedai runcit, atau 7-Eleven, anda bukanlah perompak yang handal. 7-Eleven hanya ada RM50 di dalam laci kaunter. Tak berbaloi. Anda cubalah kebolehan dengan merompak balai polis. Cubalah. Balai trafik lagi bagus kerana di situ ada banyak duit hasil orang bayar saman. Sudah tentu kisah anda jadi muka depan berbanding anda rompak 7-Eleven.

9.Jangan malu-malu
– Jika anda ditangkap, anda adalah hero di kalangan penjenayah lain. Mana tidaknya, kamera TV, media akan ambil gambar anda semasa anda dibawa ke mahkamah.Senyum. Jangan tutup muka. Bukan senang untuk mendapat publisiti macamtu. Menteripun tak tentu dapat liputan meriah itu ketika merasmikan balairaya kampung anda 15 tahun lalu. Berbanggalah.

10.Tinggalkanlah mana-mana yang tak penting
- Perancangan anda untuk merompak mungkin amat canggih. Dan anda berjaya melarikan duit atau barangan bernilai jutaan ringgit. Tetapi, tahukah anda, semua itu dah boleh buatkan anda senang seumur hidup. Jadi, apalah sangat dengan beg duit, atau baju atau beg yang anda bawa. Tinggalkanlah. Buat menyemak dalam kereta yang anda pandu nanti. Kad pengenalan pun, anda tinggalkan kerana nanti anda boleh buat kad pengenalan palsu. Pendek kata, anda angkut semua kecuali barangan yang anda bawak sebelumnya.

11. Sepakat Membawa Berkat
-Jika anda berkumpulan, pastikan setiap anggota anda membawa sekeping kad. kad ini adalah sebagai panduan jika berlaku kecemasan. Di dalamnya, ada nama dan nombor untuk dihubungi dan jika ada alamat, lagi baik.
Tujuannya,adalah untuk kebaikan bersama. Contoh, jika anda yang kena jadi lead untuk masuk serbu dalam bank, dan rakan anda menunggu di dalam kereta, kemudian anda ditembak mati. maka, kad inilah jadi penyelamat untuk pihak berkuasa menghubungi rakan anda yang melarikan diri untuk membantu siasatan.
Jika anda terperangkap pula, dan ditangkap, kad ini juga akan membantu polis bertemu rakan anda yang melarikan diri itu, dan akhirnya, anda sekurang-kurang ada teman di dalam lokap nanti. Sepakat membawa berkat...

Tips Tambahan

12. Jangan Buat Malu
Ramai di kalangan anda berangan nak main salji, membuatkan sampai pergi merompakpun guna 'ski-mask'. Semua ni jadi bahan ketawa orangramai. Mungkin ada yang perasan mungkin nampak macam UTK (Unit Tindakan Khas) polis.Ada juga yang guna lapik tudung anak perempauan anda atau isteri semata-mata untuk menutup muka, hanya nampak mata anda sahaja. Kalau anda lemas, siapa yang susah? Betul-betul buat malu.
Adalah lebih baik anda guna goggle, macam orang menyelam tu. Lebih nampak bergaya. Jika anda tak tahu macamana goggle tu, sila lawat http://www.google.com/ , cari kat google images.

Tuesday, November 17, 2009

RM 2.00 Untuk Tok Guru ke Mekah


Tok Guru Nik Aziz mengesat airmata kerana sedih dengan fitnah yang dilemparkan terhadap beliau


Tok Guru,

Aku tak tau dah banyak mana airmata Tok Guru yang mengalir sepanjang perjalanan perjuangan Tok Guru.
Aku tak tau dah banyak mana tohmahan dan fitnah yang telah dilemparkan terhadap Tok Guru.
Aku tak tau dah banyak mana kesedihan dan keperitan yang dialami oleh Tok Guru.

Tapi aku tau sejauh mana keikhlasan Tok Guru dalam memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan.
Aku tau sejauh mana pengorbanan yang telah dilakukan oleh Tok Guru.
Aku tau sejauh mana kejujuran Tok Guru dalam menanggung amanah yang diberikan.

Dan aku sakit hati bila ada orang melakukan khianat terhadap Tok Guru.
Aku sakit hati bila ada orang yang menuduh dan memfitnah Tok Guru.
Aku sakit hati bila ada orang yang cuba menjatuhkan Tok Guru.

Jangan diambil sedekah orang yang khianat.
Jangan diambil budi orang yang berperangai iblis.
Jangan diambil peduli mereka yang cuba mengkhianati Tok Guru.

Aku masih menghormati Tok Guru sebagai pemimpin rakyat.
Aku masih menghormati Tok Guru sebagai pemimpin masyarakat.

Sebab aku tahu
Pengorbanan Tok Guru adalah untuk rakyat.
Air mata Tok Guru adalah airmata untuk rakyat.
Dan doa Tok Guru adalah doa untuk rakyat.

Aku tak ada duit nak sponsor Tok Guru.
Dan aku tau Tok Guru juga tak perlu duit aku untuk pergi Mekah.
Tapi aku sakit hati, bila niat Tok Guru untuk ke Mekah di putarbelitkan oleh orang lain.

Hari ini aku jual getah.
Lepas tolak duit beras.
Lepas tolak duit gula dan kopi.
Lepas tolak duit belanja anak kesekolah.
Lepas tolak duit bayar bil air dan api.
Lepas tolak bayar duit streamyx.

Aku masih ada RM2.00 untuk aku sedekahkan kepada Tok Guru.
Supaya Tok Guru dapat mengerjakan Haji pada tahun ini.
Supaya Tok Guru dapat berdoa didepan Kaabah untuk kesejahteraan kami.
Supaya Tok Guru dapat terus berjuang untuk kebebasan kami.

Dan aku percaya, masih ramai diluar sana yang akan bersetuju dengan aku.
Kita hantar Tok Guru ke Mekah dengan wang rakyat.
Kita hantar Tok Guru ke Mekah dengan duit penoreh getah, duit petani, duit penjaja, duit pekerja kilang, duit nelayan.
Kita hantar Tok Guru ke Mekah dengan penuh keikhlasan.

Kita tidak mengharapkan pembalasan.
Kerana kita tahu…

Pengorbanan Tok Guru adalah untuk rakyat.
Keikhlasan Tok Guru adalah untuk rakyat.
Airmata Tok Guru adalah untuk rakyat.
Doa Tok Guru adalah untuk rakyat.

Kita buktikan….
Bahawa Tok Guru sentiasa dekat dihati rakyat.


Sebarang sumbangan bolehlah di depositkan ke akaun berikut:

Maybank: 158 097 625 245
Pemegang Akaun: Mohmad Afandi bin Ahmad. (MSK)

Sebarang pertanyaan:

email: matsamankati@gmail.com
HP: 013-5935721


Untuk maklumat lebih tepat, sila ke laman web berikut:
http://perakexpress.com/www/2009/11/17/rm200-untuk-tok-guru-ke-mekah/